Mari Pelihara Kesucian Masjid

Brunei_-_Masjid_Sultan_Omar_Ali_Saifuddin

Masjid menjadi nadi kepada kehidupan umat Islam di sesuatu kawasan. Masjid merupakan suatu struktur yang amat rapat dengan Islam. Sejak dari zaman Rasulullah s.a.w, masjid sentiasa hidup dengan pelbagai aktiviti masyarakat sama ada aktiviti sosial atau ibadat. Boleh dikatakan, masjid menjadi nadi kepada kehidupan umat Islam di satu-satu kawasan. Lebih dikenali dengan panggilan ‘Rumah Allah’, ia merupakan sebuah tempat yang perlu dipelihara. Justeru, setiap individu Muslim perlu menunaikan hak-hak masjid dalam memelihara kesuciannya.

Antara adab yang perlu dilaksanakan ialah:

1. Mendahulukan kaki kanan dan mengucapkan doa yang sering diucapkan Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Ya Allah, limpahkan selawat dan salam kepada Muhammad dan ahli keluarga Muhammad. Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu.” (Riwayat Muslim)

2. Melaksanakan solat sunat tahiyyatul masjid. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu hadis, “Apabila salah seorang di antara kalian masuk masjid, hendaklah ia solat sunat dua rakaat sebelum duduk.” (Riwayat Bukhari, no. 444)

3. Menyibukkan diri dengan ibadah-ibadah yang disyariatkan seperti membaca Al-Quran, mempelajari ilmu dan berzikir. Rasulullah s.a.w pernah bersabda ketika menasihati seorang Badwi yang kencing di dalam masjid, “Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak boleh dikotori. Ia tidak lain (tempat) untuk berzikir kepada Allah s.w.t, solat dan membaca Al-Quran.” (Riwayat Muslim, no. 285 dari Anas bin Malik r.a.)

4. Menjaga kebersihan masjid. “Diperlihatkan (kepadaku) amalan-amalan umatku yang baik dan yang buruknya. Aku melihat pada amalan kebaikannya (adalah) menyingkirkan gangguan dari jalan, dan aku melihat pada amalan jeleknya (adalah) dahak yang ada di masjid yang dia tidak boleh menimbuninya.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah dari Abu Zar r.a)

5. Dilarang mengeraskan suara dan mengganggu orang lain beribadah di dalam masjid. Rasulullah s.a.w bersabda, “Ketahuilah, kalian semua sedang bermunajat kepada Allah, maka janganlah saling mengganggu antara satu sama lain. Janganlah kalian mengeraskan suara dalam membaca Al-Quran. Atau baginda berkata, “Dalam solat.” (Riwayat Abu Daud, no. 1332 dan Ahmad, no. 430. Hadis ini dinilai sahih oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab Nata-jul Afkar, Jilid 2, m/s 16)

6. Dibenarkan tidur di dalam masjid dan tidak mengotori masjid. Pada zaman Rasulullah s.a.w, terdapat beberapa orang sahabat Nabi s.a.w yang sering tidur di masjid seperti Ibnu Umar r.a dan Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

 

Tinggalkan komen