Henti Cemar Agama Dengan Fitnah!

Assalamualaikum dan salam Jumaat kepada teman-teman yang dikasihi.

Di sini, saya ingin menyeru kepada teman-teman yang terlibat dengan perbuatan melabel sesuka hati, mencela, memfitnah, mengadu domba dan sebagainya  supaya berhenti melakukan perbuatan-perbuatan sebegini. Ini kerana perbuatan sebegini bukan saja menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat malah mencemarkan imej agama Islam itu sendiri. Paling menyedihkan, ada sesetengah pihak bergelar asatizah turut sama terlibat dalam gejala ini. Apa sebenarnya faedah yang diraih dari perbuatan-perbuatan sebegini? Bagi si pelaku, apa yang dilakukan hanya membuang masa dan tenaga, nama dikecam, dikeji dan didoakan perkara-perkara negatif serta mengundang kemurkaan Allah s.w.t sehingga menjerumuskan si pelaku ke jurang neraka. Wahai teman, usah terlibat perkara sebegini sebab apa yang saya lihat hanyalah lebih banyak penderitaan buat si pelaku pada akhirnya. Wahai teman, mahukah engkau menjadi orang yang muflis pada hari akhirat di mana pahalamu diambil oleh orang-orang yang pernah kau zalimi semasa hayatmu dan dosa-dosa mereka ditimpakan ke atas dirimu? Kalau muflis di dunia, masih ada lagi cara untuk menambah semula harta tetapi muflis amal di sana, takkah kita terasa takut dengan perkara ini? Wahai teman, Nabi s.a.w ingatkan kita supaya mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tiada apa-apa mahu diperkatakan, sebaiknya diam. Saya teringat pesan Ustaz Elyas Ismail dalam Tanyalah Ustaz bahawa orang yang banyak bercakap akan melakukan banyak kesilapan dan orang yang banyak melakukan kesilapan akan melakukan banyak dosa. Wahai teman, usah kerana lidahmu itu, ia mengheretmu ke neraka!

Tinggalkan komen